Skip to main content

“Saya Tadah Otak Anak, Dia Cuma Mampu Pandang Sebelum Jatuh Rebah, Ibu Mangsa Tragedi Baling Kerusi Di PPR Kongsi Detik Akhir…


 “Saya Tadah Otak Anak, Dia Cuma Mampu Pandang Sebelum Jatuh Rebah, Ibu Mangsa Tragedi Baling Kerusi Di PPR Kongsi Detik Akhir…

Dengan cara kematian yang agak tragis, terpaksa menadah otak anak dengan kedua belah tangan sebelum anaknya rebah  dipangkuannya, pengalaman inilah yang dilalui oleh Kasthuribai A/P M. Sattayappan, 45 tahun apabila anaknya mati di depan mata selepas terkena balingan sebuah kerusi pejabat dipercayai dari tingkat 21 Flat PPR Seri Pantai (Blok 102), Jalan Pantai Dalam, Kuala Lumpur  dalam kejadian semalam.
Menceritakan kejadian lebih lanjut kejadian malam semalam yang membawa kepada kematian anak bongsunya, kata Kasthuribai, dia bersama mendiang anak bongsunya, Satiswaran turut ke bawah flat PPR itu kerana anaknya mahu membeli kad tambah nilai untuk membuat kerja sekolahnya.


Namun kad tambah yang dihajati tidak ada. Mendiang Satiswaran kemudian mendekati ibunya secara berhadapan di hadapan lif dan tanpa diduga, sebuah kerusi tiba-tiba melayang dari bawah dan tepat mengenai kepala mangsa sehingga terbelah.
“Ketika itulah otaknya terburai. Saya tadah dengan kedua belah tangan. Anak memandang muka saya tepat tapi kosong. Dia kemudian rebah di depan mata saya lalu saya menjerit meminta tolong,’ katanya ketika ditemui di rumahnya dalam satu ziarah oleh YB Nurul Izzah selaku Ahli Parlimen Lembah Pantai yang menzahirkan rasa simpati.
Mengakui begitu sedih dan masih lagi trauma, berkali-kali dia bertanya soalan kepada barisan wartawan yang berada di sekelilingnya.
Tanya Kasthuribai, hari ini nyawa anaknya sudah pergi. Pergi kerana kerakusan dan sikap bodoh orang lain yang mengambil mudah membaling kerusi yang sudah rosak tanpa mahu menghantarnya ke ruang sampah di bawah.
“Ini bukan soal  nyawa orang India. Bukan juga soal bangsa Melayu atau Cina tetapi kejadian ini melibatkan satu nyawa remaja yang  langsung tidak berdosa kerana kecuaian orang lain.
“Hari ini anak saya kena. Kalau esok lusa, anak orang lain atau sapa-sapa kena, kenapa tiada tindakan dalam hal ini. Ini bukan kejadian pertama. Sudah banyak kes baling barang berlaku. Ada mangsa kena 16 jahitan, ada kena 6 jahitan. Kita semua ada hati. Hari ini anak saya sudah mati. Nyawanya tak mungkin boleh datang semula. Tapi apa kita boleh buat? Apa peranan kita semua,” soalnya bertalu-talu.
Kasthuribai meminta YB Nurul Izzah bercakap bagi soal kematian anaknya ke pihak berwajib malah bersedia ke Parlimen untuk berkongsi penderitaannya Mac akan datang
Mengakui masih lagi trauma dan kesedihan kerana kehilangan anak bongsu dari dua beradik itu, kata Kasthuribai, mendiang anak bongsunya itu memang baik.
“Dua hari sebelum ini, selepas balik dari sekolah, dia tolong bersihkan ruang tamu rumah yang sudah digenangi air akibat tempias hujan dari tingkap yang sudah reput. Air penuh sampai ke ruang tamu. Tanpa sempat makan dan salin pakaian, dia bersihkan rumah dahulu. Mop satu rumah. Tengoklah, bila hujan, air masuk ke dalam rumah,”katanya sambil menunjukkan kerosokan tingkap yang sudah mulai mereput akibat tempias hujan.
  Bukan saja terkenal sebagai budak baik malah mendiang anaknya itu akan mencuci ruang koridor rumah mereka jika terdapat najis haiwan selain sisa kencing orang dewasa yang sengaja membuang air kecil di tangga berkenaan.
“Anak saya yang baik sudah tiada. Siapa mahu menggantikan nyawanya yang sudah tiada akibat kecuaian orang lain. Anak saya menjadi mangsa sikap orang lain,” katanya dalam nada tangis bertalu.
Mungkin masih trauma dan kesedihan berpanjangan, semasa kunjungan ini Kasthuribai yang bekerja sebagai tukang masak di Chile Bangsar  tiba-tiba rebah sehingga mengakibatkan keadaan menjadi panik.
Dia yang dipercayai mempunyai sakit jantung rebah sebelum dipapah oleh YB Nurul Izzah yang berada di ruang berdekatan.
Buat masa ini mendiang Satiswaran masih lagi di tempatkan Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga mangsa untuk upacara pengkebumian.
Malah pelaku yang mencampakkan kerusi dipercayai dari tingkat 21 masih belum ditangkap oleh pihak berkuasa kerana pihak forensik mahu mencari dna di kerusi sebelum menahan pelakunya.
Remaja turut difahamkan oleh nenek mendiang yang tinggal di tingkat 21, dia tahu dan kenal kerusi yang dibaling tepat mengenai kepala cucunya itu adalah milik jirannya yang diletakkan di ruang siar.
“Tapi saya tak tahu dia sudah kena tangkap atau tidak. Tapi kerusi itu memang ada sebelah rumah saya sebelum ini,” katanya mendakwa, pelakunya adalah golongan dewasa dan bukan kanak-kanak kerana kerusi berkenaan agak berat.
Saya akan bawa isu ini ke Parlimen dan meminta jaring keselamatan dipasang di bawah lif
Berasa simpati dengan kejadian yang menimpa mendiang Satiswaran, YB Nurul Izzah memaklumkan, dia akan membawa isu tentang soal keselamatan flat-flat di bawah selenggaran DBKL ini ke Parlimen pada sidang parlimen Mac akan datang.
“Bagi saya, soal keselamatan adalah penting bagi semua orang. Ini mungkin kes melibatkan kematian pertama, namun kita mahu budaya membuang sampah ini yang boleh membahayakan nyawa orang lain dipandang serius oleh semua pihak kerana kita tahu mahu isu ini berulang. Kita berasa simpati dan saya akan mendapatkan semua maklumat lengkap mengenai isu ini bersama pihak berkuasa,” katanya menegaskan, untuk langkah awal dan pertama, adalah lebih baik jaring keselamatan dipasang di bawah flat demi menjamin kesejahteraan semua penduduk.
Baling barang perangai biasa penduduk Flat PPR ini
Remaja turut mendapatkan pandangan dari Ketua Blok 100 Flat PPR Seri Pantai, Azaman bin Agam mengenai sikap buang sampah dari atas blok tanpa turun ke tempat pembuangan sampah.
 “Soal buang barang dah jadi perkara biasa bagi mereka yang suka mengambil kesempatan ini. ada yang baling tayar, rim motor, batu bata, kaca, gelas dan banyak lagi. Kejadian orang pecah kepala akibat terkena barangan dibaling sudah banyak kali berlaku. Ada menerima 16 jahitan dan lain-lain lagi.
“Biasa selaku ketua blok, saya akan berkomunikasi dengan ketua tingkat. Jika kita temui sampah diletakkan di siar kaki, kita akan buka dan tengok jika ada dokumen yang boleh kita serah kepada pejabat di DBKL di ruang bawah.
“Sudah beberapa kali saya lihat penguatkuasa DBKL pergi ke rumah mereka yang suka membaling sampah ini. Biasanya mereka akan diberi amaran dahulu sehingga beberapa kali. Kemudian lisan dan jika berterusan diusir dari rumah sewaan mereka,”katanya ketika ditemui dan memaklumkan terdapat 984 buah rumah bagi kedua-dua blok.

Menyifatkan tidak timbul isu sukar membuang sampah ke ruang buang sampah, Azanan berkata, sikap mementingkan diri sendiri adalah mengapa isu ini tidak pernah selesai sejak dulu lagi.

Comments

Popular posts from this blog

MAKLUM BALAS PERMOHONAN PETI SURAT DAN RONDAAN POLIS

SURAT JEMPUTAN MESYUARAT AGUNG KALI KE-EMPAT (4) SESI 2017/2018

***NOTA: SURAT JEMPUTAN, DAN NOTIS AGM TELAH DI HANTAR KE UNIT/ALAMAT MASING-MASING MENGIKUT MAKLUMAT YANG DIBERIKAN PEMILIK KEPADA PIHAK PENGURUSAN JMB DAMAI.

MESYUARAT AGUNG TAHUNAN (AGM)

JEMPUTAN AGM Dimaklumkan segala surat jemputan dan notis akan dihantar melalui pos mengikut alamat yang telah di daftarkan oleh pemilik di dalam sistem kami. Mohon pemilik yang berkelayakan untuk meluangkan masa menghadirkan diri bagi mengikuti AGM kali ke-3 yang akan di berlangsung seperti berikut:- NOTIS AGM LAMPIRAN 1: MINIT MESYUARAT AGUNG LUAR BIASA (EGM) SESI 2016/2017 LAMPIRAN 2 : MINIT MESYUARAT AGUNG TAHUNAN SESI 2014/2015 LAMPIRAN 3: LAPORAN KEWANGAN BAGI TAHUN BERAKHIR 30/09/2015